Saturday 21 July 2012

Pelajar Dibenar Bawa Handphone??

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong mengumumkan pelajar sekolah dibenarkan membawa telefon bimbit dan iPad ke sekolah bermula tahun hadapan.

Sehubungan itu ramai pelajar sekolah tersenyum lebar. 

Namun saya percaya pasti terdapat syarat ketat perlu dipatuhi oleh mereka. Masakan pihak sekolah akan membenarkan pelajar bermain Angry Bird sewaktu sesi pembelajaran berlangsung.

Saya cuma khuatir jika banyak kes kecurian telefon bimbit bakal berlaku. 

Maklumlah, mereka kanak-kanak. Sebilangan ibu bapa mampu membelikan anak mereka telefon bimbit berjenama mahal manakala sebilangan lain barangkali tidak mampu menyediakan alat telekomunikasi untuk anak biarpun berharga di bawah RM100. 

Persaingan dan kemampuan kekadang mengundang bahana, begitu lazimnya.

Mungkin pembaca pernah mendengar kes beg sekolah pelajar diselongkar dek rakan sekelas. Pensil, pembaris dan pemadam dicuri. Namun itu bukan kes besar kerana harga barangan terbabit tidak mahal lalu tiada laporan polis dibuat oleh mangsa.

Bayangkan jika telefon bimbit dan iPad berharga ribuan ringgit dikebas. Kejadian itu bakal mengundang kekecohan sekiranya berlaku. Pihak pengurusan sekolah kemudian terpaksa melakukan siasatan awal dan pada masa sama membuat laporan polis.

"Encik, pemadam anak saya dicuri di sekolah, saya hendak membuat laporan polis dan mahu tindakan diambil"

Mungkin kenyataan itu hampir mustahil diungkapkan oleh ibu atau bapa pelajar jika membuat laporan di balai polis, berbanding ...

"Encik, iPhone 4s anak saya berharga hampir tiga ribu ringgit hilang sewaktu dibawa ke sekolah"

... jika pelajar dibenarkan membawa alat telekomunikasi ke sekolah.

Sebaik kejadian dilaporkan di balai berhampiran, polis harus menjalankan siasatan sekaligus mengambil tindakan. Justeru Pegawai Penyiasat selama ini melaksanakan tugas berhubung pelbagai kes jenayah lain seperti menyiasat kes bunuh, rogol, rompak, ragut dan samaun, terpaksa hadir ke sekolah untuk menyiasat kes kehilangan telefon bimbit.

Itu belum lagi ...

"Encik, iPad anak saya kena curi. Dia simpan di dalam beg tetapi beg dia telah diselongkar"

Terfikir, mengapa iPad sahaja dibenarkan? Bagaimanakah dengan produk berfungsi sama berjenama lain? Samsung Galaxy Tab?

Tidak hairan jika keputusan diumumkan di akhbar tempoh hari bakal dibantah oleh pelbagai pihak

Teringin benar saya mendengar komen daripada Pasukan Polis Diraja Malaysia, PDRM, berhubung keputusan Kementerian Pelajaran. Kita tidak mampu menduga jika telefon anak anggota dan pegawai PDRM juga bakal hilang akibat dicuri di sekolah pada tahun hadapan.

Hemat saya, Kementerian Pelajaran sepatutnya terlebih dahulu menjalankan kaji selidik untuk merekodkan pandangan ibu bapa secara kolektif sebelum mengumumkan keputusan itu.

No comments:

Post a Comment