Friday 30 October 2015

Tips Kurangkan Sakit Bersalin Supaya Ibu Tak Menjerit Dalam Dewan Bersalin

Semua orang tahu bahawa sakit bersalin adalah sakit yang paling sakit di dunia. Maka, wajarlah darjat ibu dinaikkan 3 kali ganda melebihi seorang ayah. Berdasarkan hadis Rasulullah yang diriwayatkn oleh Abu Hurairah :
Seorang lelaki datang menemui baginda Rasulullah S.A.W dan bertanya,
“Siapakah manusia yang layak untuk aku layan sebaik-baiknya?”
Baginda menjawab, “Ibu kamu”
Dia bertanya lagi, “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab, “Ibu kamu”
Dia bertanya lagi, “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab, “Ibu kamu”
Dia bertanya lagi, “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab, “Kemudian bapa kamu”
Walaupun bersalin itu sakit, namun ramai wanita nampaknya tidak serik. Tetap bahagia dan gembira walaupun bersalin beberapa kali. Sakit itu seolah-olah hilang apabila bayi dilahirkan. Sebenarnya bukan ketika bersalin sahaja sakit, malah selepas bersalin, ibu perlu menanggung sakit akibat luka pula. Sama ada bersalin biasa ataupun pembedahan dan sakitnya nak layan kerenah anak kecil dalam keadaan berpantang.
Semasa dalam bilik bersalin, sekiranya ibu tidak tahan sakit, beberapa pilihan ubat tahan sakit akan diberikan. Namun, dikatakan sakitnya tetap ada walaupun sudah diberi ubat tahan sakit. Sungguhpun begitu, terdapat beberapa cara untuk mengawal dan mengurangkan rasa sakit bersalin ini secara semulajadi tanpa ubat tahan sakit.
🌷Pilihan ubat tahan sakit semasa bersalin.
Cara kurangkan sakit bersalin sebelum dan semasa mengandung
🐚Dapatkan nutrisi yang cukup
Dapatkan vitamin dan zat mineral secukupnya ketika mengandung, terutamanya vitamin yang diperlukan oleh ibu mengandung iaitu zat besi, vitamin B, vitamin C, asid folik dan kalsium.
Makan makanan seimbang dan pelbagai mengikut saranan piramid makanan supaya ibu mendapatkan karbohidrat, protein dan lemak secukupnya untuk pertumbuhan dan pembesaran bayi.
🐚Bersihkan usus
Wanita hamil seringkali mengalami masalah sembelit dan ini boleh membina kotoran, mukus ataupun toksin di dalam usus. Apabila bayi dilahirkan, dia akan menekan bahagian usus besar dan sekiranya penuh dengan najis, boleh menyebabkan kesakitan. Jadi, sebaiknya lakukan detoks sebelum mengandung dan bukan ketika mengandung.
Semasa mengandung, ibu perlu pastikan yang ibu tidak mengalami sembelit dan boleh membuang air besar setiap hari. Lagipun, usus yang bersih diperlukan untuk penyerapan zat makanan. Sekiranya usus kotor, bagaimana zat makanan dapat diserap?
🌷Atasi masalah sembelit ketika mengandung.
🐚Senaman
Lakukan senaman aerobik seperti mengayuh basikal, berjalan atau jogging 3 kali sehari setiap minggu lebih kurang selama 30 minit. Semasa dan selepas senaman, badan akan mengeluarkan hormon endorphins yang merupakan penahan sakit semulajadi semasa proses bersalin dan badan sudah pun terbiasa dengan hormon ini.
Jika ibu memang sudah biasa dengan program senaman tertentu sebelum hamil, maka boleh teruskan sahaja dengan program itu. Namun, jika ibu tidak biasa bersenam, mulakan sedikit demi sedikit sehingga badan terbiasa dengan senaman. Yang penting, janganlah sampai sesak nafas ataupun kekurangan air.
🌷Panduan senaman untuk ibu hamil, mudahkan kelahiran bayi.
🐚Belajar teknik mengawal pernafasan
Teknik ini seeloknya dipelajari di dalam kelas, tapi sebelum bersalin hari tu, saya hanya belajar di You Tube sahaja. Teknik pernafasan penting untuk mengelakkan ibu panik apabila sakit kontraksi menyerang. Dan perlu ingat, bahawa panik tidak akan membantu langsung.
🌷Semasa kelahiran bayi
🐚Elakkan bersalin secara gesaan.
Maksudnya kalau boleh, elakkan kena masuk ubat ataupun pitocin semasa proses bersalin. Kerana apabila bersalin secara gesaan, kemungkin sakitnya lebih kuat adalah tinggi.
Namun, mungkin ada sesetengah ibu yang terpaksa melalui proses ini kerana masalah kesihatan ataupun jalan tidak terbuka. Terpaksalah, apa boleh buat. Berdoalah supaya proses bersalin itu lebih mudah.
🐚Makanan untuk tenaga dan ketahanan
Makanlah mengikut keperluan kerana badan memerlukan tenaga untuk berfungsi dengan baik. Saya faham ramai ibu-ibu yang sudah hilang selera apabila rasa sakit bersalin dan ada beberapa kakitangan kesihatan yang tidak menggalakkan ibu makan apabila berada dalam dewan bersalin kerana bimbang ibu terpaksa dihantar untuk pembedahan. Namun, saya ulang sekali lagi, ibu perlukan tenaga semasa proses meneran bayi nanti.
Saya sarankan ibu makan makanan yang senang dihadam, contohnya sup sayur, salad ataupun buah-buahan. Kurma mungkin adalah pilihan terbaik untuk ibu yang berada di dalam dewan bersalin. Sebelum pergi ke hospital, ibu mungkin boleh mengisi perut dengan protein ataupun karbohidrat kerana mungkin ibu tak larat nak makan yang berat-berat apabila sakit kontraksi semakin menyerang.
🐚Kekal aktif dan tukar posisi dengan kerap
Ramai ibu yang memilih untuk berjalan-jalan keliling bilik sementara menunggu masa untuk bayi keluar. Duduk dalam keadaan yang ibu rasa selesa. Dalam proses untuk keluar, bayi akan menekan saraf, otot dan sebagainya. Namun, jika ibu terlalu baring, bayi mungkin akan menekan saluran darah yang besar. Pilihlah mana-mana posisi yang ibu rasa lebih selesa.
🐚Kosongkan pundi kencing dengan kerap
Tekanan pada pundi kencing yang penuh adalah amat tidak selesa, apatah lagi sekiranya bayi turut memberi tekanan pada tempat yang sama. Jadi, pastikan ibu kosongkan pundi kencing dengan kerap. Jika tak mampu berjalan, gunalah bekas untuk kencing.
🐚Urutan
Setiap wanita adalah berbeza. Semasa bersalin dulu, suami tidak sempat untuk menemani saya. Jadi, saya rasa lebih selesa apabila ibu mengurut belakang saya. Ada yang suka letakkan pad yang sejuk atau suam di bahagian belakang ataupun perut.
Ada juga ibu yang selesa menggunakan birthing ball. Apa yang penting, ibu kekal selesa dan ceria untuk pembebasan hormon endorphin yang merupakan penahan sakit semulajadi untuk ibu dalam proses bersalin.
🐚Amalkan teknik pernafasan
Tadi dah belajar semasa mengandung kan? Sekarang ialah masa untuk praktikkannya. Yang penting jangan panik dan tarik nafas dengan dalam dan sempurna.
🐚Berdoa kepada Allah agar mudahkan proses kelahiran
Ketika bersalin 2 tahun lepas, saya tidak boleh duduk senang. Maklumlah anak pertama dan suami pula tiada di sisi. Seorang sahabat menasihatkan saya supaya berzikir dengan kuat supaya fokus kepada sakit hilang. Dan, satu dewan bersalin memang dengar saya berzikir. Ajaibnya, memang say tidak fokus lagi kepada sakit dan hanya menunggu bukaan penuh untuk meneran bayi.
Untuk ibu yang berada pada penghujung kelahiran, semoga proses bersalin dimudahkan. Jika mencari-cari set untuk berpantang atau sekadar nak sembang-sembang dengan saya, boleh hubungi Intan : 012-9270127


No comments:

Post a Comment