Firman Allah SWT, bermaksud “Jika kamu menolong (agama) Allah,
nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu” (Surah Muhammad,
ayat 7)
Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha
Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita?
Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk
melihat dan aka untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi
mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan.
Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan
pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya.
Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling
memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah
insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang
diperkatakan?
Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita :
1. Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba
perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara
makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan
pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang
berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon.
Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia
adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh
kita.
2. Senang Bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan
bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang
kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat
kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama.
Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa
dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit
kehilangan.
3. Terima Kita Seadanya
Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil
peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini
kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum
ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita
pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang
dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah
silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia
menjadi pasangan hidup kita.
4. Sentiasa Jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum
hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran
bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu
apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya,
kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi
faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur,
sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia
jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami
dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah
sebaik-baik pilihan.
5. Percaya Mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini
perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila
kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita
selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya
mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka.
Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya
berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun
kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah
melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh
kedua-duanya.
6. Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam
jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui
hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu
perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang
dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas
masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua
ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan
semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya
bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa
hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini
kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah
ini menyusahkan?
7. Memahami Diri Kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri
pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka,
dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi
pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia
selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang
gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia
mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, “lidah sendiri
lagikan tergigit”, inikan pula suami isteri’. Pepatah ini juga sesuai
bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup
ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang
sesuai menjadi pasangan hidup kita.
8. Tampilkan Kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang
mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di
kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang
bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia
kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang
untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah,
dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila
dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak
menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima
kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup
bersamanya.
9. Kata Hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria
keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan
deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita
dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat
menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin
dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan
untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya
pada ketentuan yang maha berkuasa.
10. Solat Istikharah dan Tawakkal
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya
perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa.
Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk
melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila
kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah
memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat
petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika
tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi
mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan,
berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini
hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.
No comments:
Post a Comment