Gagasan 1 Malaysia diperkenalkan agar nilai-nilai murni perpaduan dapat diperkukuhkan dan dipelihara berlandaskan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan. Jelas menunjukkan sehingga hari ini kerajaan dibawah pemerintahan YAB Perdana Menteri komited dalam membela rakyat dan mendidik rakyat kearah masyarakat yang bertamadun tinggi.
Tetapi negara dikejutkan dengan tindakan biadap seorang pelajar yang bernama Adam Adli. Tindakannya yang menurunkan bendera YAB Perdana Menteri selaku Presiden UMNO dan menaikkan bendera BEBAS dilihat sebagai suatu tindakan yang tidak bertamadun dan telah membangkitkan kemarahan rakyat khususnya orang Melayu. Ini dianggap sebagai penghinaan kepada parti UMNO yang memperjuangkan agama Islam, orang Melayu dan tanah air Malaysia.
Soalnya disini,apakah rasional yang dilakukan oleh Adam Adli yang merupakan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris? Siapakah Adam Adli ini?Adakah dia merupakan seorang peguam?ahli perniagaan?arkitek?ahli muzik?atau ahli politik? Saya terlupa bahawa Adam Adli merupakan seorang Mahasiswa. Mahasiswa yang masih belajar di IPT yang masih belum tahu masa hadapannya sendiri.
Pejuangan untuk kebebasan akademik dijadikan sebagai perisai oleh Adam Adli dan rakan-rakan mereka. Perjuangan mereka ini jelas dan nyata dinaungi oleh parti politik. Apabila laporan polis yang dibuat oleh Adam Adli di Bukit Aman,siapakah yang menjadi pengiring dan jurucakap mereka?Tidak lain, saudara Che’gu Bard yang merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan. Bukan ini dinaungi oleh politik?
YAB Perdana Menteri telah mengusulkan di parlimen dalam sesi yang lepas untuk meminda seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1970 yang membenarkan mahasiswa dan mahasiswi untuk terlibat dalam parti politik tetapi tidak boleh membawa ideologi politik kepartian ini ke dalam kampus. Pada pandangan saya, jika seksyen 15 ini dipinda amatlah sukar untuk memastikan Mahasiswa tidak membawa politik kepartian ke dalam kampus masing-masing.
Ini dapat dibuktikan dengan insiden Adam Adli dan juga insiden-insiden yang lepas dimana mahasiswa Malaysia seringkali menjadikan provokasi dan demonstrasi atasa nama kebebasan sebagai medium untuk mereka berpolitik. Atas nama kebebasan inilah yang menyebabkan mereka alpa bahawa setiap kebebasan ada hadnya. Kebebasan yang bagaimana dilaungkan? Adakah kebebasan yang melampui batas sehingga akhlak dan nilai-nilai murni orang malaysia diabaikan. Hakikatnya mereka ini adalah Mahasiswa yang tidak matang untuk berpolitik kerana mereka bankrap dari segi nilai-nilai murni dan akhlak. Politik matang bagi mereka ini adalah politik kebebasan
Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengugut Universiti Pendidikan Sultan Idris bakal berdepan dengan tindakan undang-undang jika tindakan disiplin dikenakan keatas Adam Adli. Ini lagi satu hujah kuat untuk mengatakan bahawa golongan yang dipayungi oleh pembangkang ini seolah-olah lupa diri sehingga menganggap mereka mempunyai immuniti dari segala tindakan undang-undang. Mencabar Universiti samalah mencabar canselor universiti sendiri iaitu Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak. Mencabar canselor universiti samalah beerti mencabar institusi diraja.
Dalam pemerhatian saya, tindakan golongan ini hanyalah tindakan populis semata-mata. Agenda perjuangan yang cuba diperjuangkan adalah SAMAR sama sekali. Golongan ini cenderung untuk berpolitik seperti pelajar-pelajar di Asia Tengah. Keruntuhan kerajaan Mesir dibawah pimpinan Hosni Mobarak dan kerajaan Libya dibawah Mua’mmar Ghaddafi dijadikan sebagai idola perjuangan kebebasan.
Budaya demonstrasi dan kebebasan ini dijadikan azimat perjuangan oleh gerakan pelajar-pelajar ini. Tuntutan mereka yang mahukan YAB Perdana Menteri untuk memansuhkan AUKU 1970 sebelum Pilihanraya Umum ke-13 dilihat sebagai satu tindakan yang tidak matang dan berlandaskan desakan politik nasional.
Apa yang berlaku ini jelas menunjukkan mahasiswa ini kurang matang untuk terlibat dalam politik. Mereka mempertaruhkan emosi perjuangan berbanding rasional politik. Hakikatnya mereka ini perlu menimba lebih banyak ilmu bagi memastikan mereka mampu menjadi mahasiswa yang matang dalam pemikiran bersedia untuk memasuki pasaran pekerjaan. Ingatlah bahawa perjuangan mahasiswa belum selesai di menara gading. Banyak perkara yang perlu diutamakan. Saya ingin mengajak golongan-golongan mahasiswa yang tidak matang berpolitik ini untuk menghayati sajak YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan perdana menteri sebagai renungan semua.
Perjuangan Belum Selesai”
Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayat hati
Dari melihat bangsaku dijajah
Tidak ada yang lebih menyedihkan
dari membiarkan bangsaku dihina
Air mata tiada ertinya
Sejarah silam tiada maknanya
Sekiranya bangsa tercinta terpinggir
Dipersenda dan dilupakan
Bukan kecil langkah wira bangsa
Para pejuang kemerdekaan
Bagi menegakkan kemuliaan
Dan darjat bangsa
Selangkah bererti mara
Mengharung sejuta dugaan
Biarkan bertatih
asalkan langkah itu yakin dan cermat
bagi memastikan negara
merdeka dan bangsa terpelihara
air mata sengsara
mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita
Tugas kita bukan kecil
Kerana mengisi kemerdekaan
Rupanya lebih sukar dari bermandi
Keringat dan darah menuntutnya
Lagi pula apalah ertinya kemerdekaan
Kalau bangsaku asyik mengia
Dan menidakkan,
Mengangguk dan membenarkan,
Kerana sekalipun bangganya negara
kerana makmur dan mewahnya
bangsaku masih melata
dan meminta-minta di negaranya sendiri
Bukan kecil tugas kita
Meneruskan perjuangan kemerdekaan kita
Kerana rupanya selain memerdekakan,
Mengisi kemerdekaan jauh lebih sengsara
Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya
Bukankah sejak zaman berzaman
Mereka menjadi pelaut, pengembara
Malah penakluk terkemuka?
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap
Menjadi pedagang dan peniaga
Selain menjadi ulama dan ilmuwan terbilang?
Bukankah bangsaku pernah mengharung
Samudera menjajah dunia yang tak dikenal
Bukankah mereka pernah menjadi
wira serantau
Yang tidak mengenal erti takut dan kematian?
Tugas kita belum selesai rupanya
Bagi memartabat dan memuliakan bangsa
kerana hanya bangsa yang berjaya
akan sentiasa dihormati
Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita
Bukan sekadar memerdeka dan mengisinya
tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan
buat selama-lamanya
Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku
Kerana masa depan belum menjanjikan syurga
Bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa
Perjuangan kita belum selesai
Kerana hanya yang cekal dan tabah
Dapat membina mercu tanda
Bangsanya yang berjaya.
No comments:
Post a Comment