Pada zaman dahulu, di sebuah perkampungan yang
kecil, tinggallah seorang perempuan bernama Solehah dan anaknya, Amru
yang baru berusia 5 tahun. Suaminya telah meninggal dunia ketika di
medan perang. Maka tinggallah Solehah dan anaknya sehelai sepinggan
meneruskan kehidupan di sebuah rumah kecil peninggalan suaminya.
Kerja solehah sebagai penenun kain menjadikan hidup mereka serba sedikit senang. Dia dan anaknya masih boleh mengisi per
ut
dan menjalani kehidupan walaupun tidak semewah orang lain.
Sekurang-kurang mereka tidak perlu mengemis untuk mendapatkan sesuap
nasi.
Jika ramai orang yang mengupah solehah untuk menenun
kain, maka berisi lah perut mereka hari itu, tetapi jika tiada
pelanggan, maka mereka terpaksa makan makanan simpanan sebelum ini yang
sedikit untuk mengalas perut. Begitulah kerja Solehah yang tidak menentu
setiap hari.
Pada suatu hari, tidak ada seorang pun yang
datang ke rumah Solehah untuk mengupahnya menenun kain. Nasib baiklah,
dia telah menyimpan sedikit roti untuk anaknya.
"Amru sayang,
Umi minta maaf sebab hari ini hanya ada sedikit roti untuk amru makan,
tapi Umi janji, esok kita makan nasi ya," Solehah berkata kepada sambil
menghulurkan beberapa keping roti untuk Amru.
*****
"Umi, kalau Amru makan roti ni, Umi nak makan apa?" Amru menyoal ibunya yang masih tidak berhenti membelai rambutnya itu.
"Umi tak penting pun Amru. Amru makan kenyang-kenyang ya. Umi tengok
Amru kenyang pun Umi rasa dah kenyang. Amru jangan risaukan Umi,"
Solehah menjawab soalan Amru yang kelihatan masih setahun jagung itu.
Bagi Solehah, dia tidak kisah untuk berlapar. Melihat anaknya ceria dan
tersenyum setiap hari, itu sudah cukup membuat hatinya gembira.
"Umi, Amru janji, bila Amru besar nanti, Amru nak bekerja rajin-rajin.
Amru nak bagi Umi makan enak-enak," kata Amru pandai menjaga hati
ibunya. Kemudian, dia menyuap sedikit roti ke mulut ibunya itu. Solehah
hanya tersenyum dengan gelagat anak kecilnya itu.
Sejak kecil,
Amru dididik dan dijaga oleh Solehah sepenuh kasih sayang. Dia diberi
didikan agama yang sempurna dan diasuh bagai menatang minyak yang penuh,
seekor nyamuk pun tidak dibiarkan hinggap di badan Amru. Baginya, Amru
merupakan satu-satunya harta peninggalannya.
Setelah beberapa
tahun berlalu, Amru telah membesar menjadi seorang pemuda yang segak dan
tampan. Solehah pula semakin lama, semakin tua tetapi keringatnya terus
jatuh ke bumi mencari nafkah buat keluarganya.
Perubahan
mendadak ditunjukkan pada sikap Amru. Dia sering keluar untuk bersukaria
bersama kawan-kawannya. Dia juga semakin degil dan selalu melawan cakap
ibunya. Walaupun disuruh oleh ibunya untuk mencari kerja, tetapi
nasihat ibunya yang tua itu langsung tidak diendahkan. Malah Amru sering
menengking dan berkasar sehingga membuat ibunya itu terguris.
Solehah tidak tahu mengapa Amru bersikap sedemikian terhadapnya. Dia
tidak pernah mengajar anaknya untuk berkasar. Setiap hari, dia berdoa
agar Tuhan sentiasa melindungi Amru daripada sebarang perkara yang tidak
baik.
Amru pula, langsung tidak berubah, selalu keluar
berfoya-foya dengan kawan-kawannya. Dia akan ke pekan untuk menghabiskan
wang yang diberi oleh ibunya untuk melakukan perkara yang tidak
senonoh. Duit itu banyak dihabiskannya untuk berjudi. Disebabkan berjudi
itu juga, dia selalu dipukul kerana tidak dapat membayar wang yang
sepatutnya.
Begitulah rutin harian Amru. Dia tidak serik untuk
berjudi walaupun tahu akibatnya. Apabila balik ke rumah, badan Amru akan
cedera dan luka di sana-sini akibat dipukul. Solehah jugalah orang yang
akan merawatnya. Dia menyapu ubat di badan Amru sambil menitiskan air
mata melihat anaknya itu. Semahunya, dia tidak ingin perkara itu berlaku
pada anak kesayangannya itu.
"Sakitkah anakku? Umi sapu
perlahan-lahan ya.Kamu sudah besar Amru. Umi, sudah beberapa kali pesan
jangan berkawan dengan orang yang tidak elok akhlaknya. Kamu juga yang
susah nanti," ujar solehah memberi nasihat kepada anaknya itu. Begitulah
kata-kata yang sama keluar dari mulut solehah tiap kali merawat Amru.
Amru hanya membisu seribu bahasa. Kesakitan yang dialami menutup
mulutnya.
Namun Amru tetap tidak berubah. Perangainya masih
sama seperti dahulu. Kerap kali keluar ke pekan bersama kawan-kawanya
untuk berjudi. Tiap kali dia berjudi tiap kali itu jugalah dia kalah.
Nasib langsung tidak menyebelahinya. Dan tiap kali dia kalah tiap kali
itu jugalah badannya akan menerima padahnya. Begitulah nasib Amru setiap
hari. Nasib baiklah dia mempunyai seorang ibu penyayang yang masih
mengambil berat akannya.
Setiap hari seperti biasa Amru akan meminta wang daripada ibunya sebelum keluar.
"Umi!! Amru nak wang lagi!! Cepatlah Umi, kawan-kawan amru tunggu Amru tu!!" Tengking Amru kepada ibunya yang telah tua itu.
"Semua wang Umi sudah habis Amru. Wang semalam ialah wang terakhir dari
simpanan Umi. Umi sudah tiada wang untuk diberi kepada Amru," jawab
Solehah pilu. Semua wangnya telah diberi kepada Amru tanpa sempat pun
dia membeli sedikit makanan.
"Umi tipu!!! Umi masih ada wang tapi Umi tidak mahu beri pada Amru kan??!!" Tengking Amru.
Jawapan ibunya itu membuatkannya marah. Kemudian dia terus menggeledah
seluruh isi rumah untuk mencari wang. Namun usahanya itu tidak berhasil
kerana sekeping wang pun tidak berjaya dijumpai.
"Perempuan tua
tak guna!!" Jerit Amru. Dia kemudian menolak ibunya sehingga rebah dan
keluar dari rumah dengan perasan yang hampa. Amru benar-benar tertekan
kerana jika tiada wang maka tiadalah keseronokan dalam hidupnya.
Di pertengahan jalan, Amru diberhentikan oleh seorang pemuda yang
langsung tidak dikenalinya. Pemuda itu kelihatan kaya dengan pakaiannya
yang mahal. Amru tidak sedar bahawa pemuda itu sebenarnya adalah syaitan
yang menyamar sebagai manusia. Syaitan itu hanya ingin memerangkap
Amru. Bagi syaitan itu, Amru adalah orang yang sangat mudah diperdaya
dengan harta dan wang.
"Apa sebenarnya yang kamu mahu?" tanya Amru kepada pemuda segak yang berdiri di hadapannya.
"Aku hanya mahu menolong kamu. Bukankah kamu kesempitan wang sekarang?
Aku mahu memberi kamu wang yang banyak," jawab syaitan itu memperdaya
Amru.
"Memberi aku wang yang banyak?!" Amru terperanjat dan gembira.
"Ya. Wang yang banyak. Tapi dengan satu syarat," ujar syaitan bijak bermain dengan kata.
"Apakah syarat tersebut? Cakaplah apa yang Tuan mahu? Segera juga aku penuhinya."
"Syaratnya, bawa hati ibu kamu kepada aku dan wang yang banyak akan menjadi milik kamu."
Tanpa banyak berfikir, Amru terus berlari ke rumahnya. Tanpa belas
kasihan Amru membunuh dan mengambil hati ibunya; ibu yang selama ini
menjaga dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang, ibu yang sanggup
berlapar demi anaknya, ibu yang sanggup bekerja demi mencari sesuap nasi
untuk anaknya, ibu yang selalu merawatnya semasa sakit. Malah, ketika
Amru pulang, ibunya sedang menyiapkan masakan kegemaran Amru tanpa
terasa sedikit pun akan perbuatan Amru sebelum ini.
Amru sangat
gembira kerana dengan hati ibunya itu, dia akan mendapat wang yang
banyak. Dia terus berlari untuk mendapatkan pemuda yang berjanji
dengannya tadi sambil membawa hati ibunya itu. Semasa berlari
keseronokan membayangkan dia akan mendapat wang yang banyak, tanpa
disedari Amru tersepak batu lalu terjelopok ke tanah.
"Sakitkah
anakku?" dengan izin Allah, hati itu bercakap apabila melihat anak
kesayangannya sakit akibat jatuh tersungkur. Dengan penuh kasih sayang
hati itu terus bertanya. Soalan tersebut ditanya berulang-ulang kali
sehingga membuatkan Amru terperanjat.
Tanpa mempedulikan
kata-kata hati itu, Amru terus mengambil dan membawanya kepada pemuda
yang menyamar tadi. Syaitan itu berasa amat gembira sekali kerana
misinya berjaya. Sebagai balasan Amru diberikan wang yang banyak
sebagaimana yang telah dijanjikan.
Dengan wang yang banyak itu,
Amru meneruskan kehidupannya dengan berjudi. Akhirnya sekelip mata
sahaja wang banyak yang diberikan oleh syaitan tadi habis digunakan.
Seperti biasa Amru akan dipukul. Apabila balik ke rumah, tiada lagi
kedengaran suara bimbangan ibunya.
Tiada lagi ibunya untuk
merawat segala luka-luka di badannya. Tiada lagi ibunya untuk memasak
makanan kegemarannya. Tiada lagi ibunya untuk membelai-belai
menidurkannya. Akibat sikap Amru yang suka berjudi, rumahnya dijual.
Akhirnya Amru menjadi pengemis dan mati di tepi jalan akibat kelaparan.
Begitulah kisah menyayat hati seorang ibu dan anaknya. Kisah kasih
sayang ibu kepada anaknya yang tidak berbelah bagi. Kisah pengorbanan
seorang ibu. Betapa sayangnya seorang ibu kepada anaknya itu sehingga
hati masih mampu berkata-kata, risau melihat anaknya sakit.
Kita pula bagaimana? Sayangkah kita pada ibu kita? Pernahkah kita
membuat ibu kita menangis? Pernahkah kita bayangkan kanak-kanak yatim
piatu yang tidak mempunyai ibu? Bagaimanakah nasib mereka? Kita ni
sememangnya bertuah kerana mempunyai ibu. Jadi hargailah ibu anda
sebaik-baiknya.