Sunday 18 March 2012

saya tahu awak cantik

Melihat dia dari jauh, sudah cukup buat aku terpegun. Sesekali mata menjeling, cuba mengimbas mana yang sempat pada susuk tubuhnya. Alangkah indahnya ciptaan Tuhan.
Dia melangkah rapi, umpama  langkah seekor kucing yang menyilangkan kaki pada setiap hayunan langkahnya. Rapi dan teliti. Saat angin menghembus lembut pada wajahnya, terbang rambut panjang yang dibiarkan lepas tanpa diikat, mahupun ditutup. Hitam bersinar tatkala disuluh cahaya mentari.
Pakaiannya canggih, moden, dan terkini. Menyarung kemeja sendat berwarna ungu, sambil digayakan dengan seluar slack panjang berwarna hitam, serta digayakan dengan tumit tinggi berwarna hitam berkilat bertakhtakan batu permata, juga beg tangan berjenama mahal dikepit pada lengannya. Sungguh melambangkan wanita korprat. Sesekali mendabik dada tatkala berselisihan dengan sesiapapun, menandakan dia berkeyakinan tinggi. Pandangan matanya tertancap ke hadapan, seolah-olah melihat matlamat yang ingin dicapai dan dilaksanakan untuk hari ini. Hebat sungguh wanita ini.
           Namun, kekesalan mula terserlah, bila dia tidak tahu yang sebenarnya dia cantik. Sayang seribu kali sayang, dia tidak tahu. Wajah yang indah, serta tubuh badan yang mampu menggetarkan iman sang arjuna, itu dia tidak sedari dan tidak tahu.
Sebab apa dia tidak sedar dan tahu? Kalau dia tahu dan mengerti akan kecantikan dirinya, sudah tentu dia tak perlu membuka dan mendedahkan kecantikannya kepada umum. Tidak perlu dia ralit menghebahkan dan memperagakan susuk tubuhnya pada pandangan mata bukan pada orang yang selayaknya. Kalau dia tahu akan kecantikannya, sudah tentu dia tidak perlu menghebahkan kepada orang lain, orang lain sendiri akan menilai dan menyedari akan kecantikan dirinya. Cukup baginya menutup apa yang haram pada pandangan mata. Itu penilaian umum untuk menjatuhkan hukum kecantikan padanya.
Hari ini ada wanita yang sudah terlalu murah. Mempamer susuk tubuh pada umum, setiap inci ruang tubuh ingin didedahkan. Semakin hari semakin hebat hebahan dan tayangan dilakukan. Demi mengail pandangan arjuna padanya. Supaya sang lelaki melihat dan kagum akan kecantikannya. Supaya lelaki memuji dan memujanya.
     Wanita, usah kau berlumba-lumba memurahkan maruah mu. Jagalah sebaik mungkin. Tiada lelaki yang berminat menjadikan kau suri hidupnya bila kau sudah rosak dan murah akhlak. Tiada lelaki berminat untuk menanggung dosa kau yang sibuk melaram bukan untuk suami tetapi untuk pandangan lelaki luar yang tiada hak keatas kamu.
Ingat wahai wanita, jagalah akhlak dan maruah mu, meskipun tidak  dipandang lelaki, kerana Tuhan akan pandang kau sebagai muslimah sejati, dan moga kau menjadi bidadari dunia yang indah dan mendapat keredhaan Allah SWT...

       p/s :  credit to Azmin Azam for awakens.. even its more to surat layang in my mailbox, but thanks..:)

Friday 16 March 2012

~bunuh diri bukan jalan penyelesaian~


Assalamualaikum..
            Sekadar bersembang sesame kita. Hari ni hari Jumaat, bermakna hari rehat untuk student macam saya J. Biasalah..pantai timur..
            Tergelak pensyarah saya yang juga merupakan ketua pusat pengajian sains sosial dan kemanusiaan dan merupakan graduan sarjana dari United Kingdom dalam bidang Islamic Studies apabila membicarakan tentang terdapat pelajar wanita yang ingin bunuh diri akibat kecewa bercinta.. Sebenarnya ini turut kedengaran lucu pada saya. Kata pensyarah saya lagi, tidakkah pelajar tersebut sedar bahawa MATI adalah permulaan kepada segala kesukaran?? Pada saya, inilah cara orang yang mensia-siakan akal dalam melakukan sebarang tindakan apa lagi dalam menyelesaikan masalah. Akal yang diberi tidak diguna. Sebaliknya mengambil jalan shortcut @ membunuh diri.
            Mati merupakan permulaan kepada segala jenis kesukaran. Apa sajalah amalan yang kita miliki dalam usia semuda 20-an ini. Cuba kita renung sejenak, mampukah kita miliki syurga..? Telah Allah tegaskan, tidak akan cium bau syurga seseorang mukmin apabila menamatkan riwayat dengan sengaja atau dengan kata lain, bunuh diri! Anda tahu tak, bau syurga sudah dapat dihidu dalam jarak 500 tahun perjalanan. Inikan pula langsung tidak dapat HIDU bau syurga!! Astaghfirullahalazim…jangankan hendak masuk, cium bau pun tak dapat.. nauzubillah!! 1 hari di dunia = 1000 tahun di neraka. Jadi, jika purata manusia hidup sekitar 75 tahun, maknanya 1 jam lebih sahaja hidup di neraka jika dibandingkan dengan 70 ke 80 tahun hidup di dunia. Betapa bodohnya orang yang bunuh diri kan. Sedangkan azab yang menanti di sana maha pedih dan kekal.. Semoga kita semua terhindar dari berfikiran singkat. Jika kita percaya kepada Allah, kita harus percaya kepada adanya kehidupan selepas kematian. Allah telah berfirman, “Inna nahnunuhyil mauta..” yang bermaksud, “sesungguhnya Aku akan hidupkan orang yang telah mati…”  tidak perlu kita persoalkan lagi kenapa kita akan dihidupkan kembali melainkan untuk dihisab dan penentuan destinasi akhir kita sama ada heaven or hell !!
            Kita ni sudah banyak dibebani dosa.. Subhanallah…tak cukup dengan itu, putus cinta, kecewa, lalu mati bunuh diri.. bertambah-tambah la bebannya. You all please laa…percayalah..yakinlah dengan ketentuan qada’ dan qadar Allah. Telah Allah tetapkan semuanya termasuk jodoh dan pertemuan. Jika seseorang itu telah ditentukan untuk jadi milik kita, sekuat mana pun rintangan, sejauh mana pun terpisah, dia tetap akan jadi milik kita. Tetapi, sekiranya seseorang itu bukan diciptakan untuk kita, berusahalah sekuat mana sekalipun, dia tetap tidak akan jadi milik kita. Telah Dia ciptakan kita semua makhluk berpasang-pasangan. Siapalah kita untuk berkata “ you milik I..” atau untuk berkata “you memang diciptakan untuk I..” sebelum sah jadi hak milik kita.. Subhanallah!! Anda ada superpower ke sampai boleh menembusi ke sidratul muntaha untuk tengok ketentuan yang tertulis untuk anda??atau darjat anda ni macam mana?? Itu semua rahsia Allah.. Sedangkan para nabi dan rasul pun tidak diberitahu tentang itu, inikan pula kita manusia biasa yang tidak punya apa-apa..
            Redhalah dengan apa yang terjadi..bersyukurlah dengan apa yang masih anda miliki seperti ilmu yang berguna untuk dimanfaatkan, kesihatan yang baik dan kehidupan yang baik. Yakinlah, tiap-tiap kesukaran itu ada bersamanya kemudahan seperti firman Allah dalam surah Al-Insyiraah ayat 5. Just remember, disebalik kesedihan kita akan datangnya kebahagiaan. Kita tidak akan diuji melainkan untuk lebih menguatkan serta mencekalkan hati. Kesedihan tu kan salah satu dari ujian Tuhan..kan?? J
            “salamun kaulam min rabbin rahim..” – sejahtera dan rahmah dari Tuhan yang maha rahmah..     ayat ni merupakan petikan dari surah yaasiin.. Jika kita dilanda kesedihan,resah, ketakutan dan sebagainya, bacalah ayat tersebut.. Insyaallah, hati akan kembali tenang..Saya selalu amalkan..Alhamdulillah, memang magic! :D Sentiasalah bermuhasabah diri..sebagai peringatan untuk diri saya yang sangat daif ilmu ni dan juga untuk you all juga. Berfikir sebelum bertindak. Orang yang cerdik adalah yang memikirkan akibatnya dahulu sebelum memulakan sesuatu. Sayangilah nyawa anda kerana hidup sekali je ok! Takde talian hayat..:) 

Saturday 10 March 2012

*hikmah disebalik ujian*

       Slmt mlm..Sebelum tidur, jom kita bermuhasabah diri dulu:). Bila bercakap mengenai ujian, seolah-olah ia tak pernah serik dari membadai kehidupan. Cuba anda bayangkan, apa akan terjadi sekiranya tiada asas dan pegangan yang kukuh dalam kehidupan terutamanya ketika menghadapi ujian?? Pasti tersungkur bukan..
Kehidupan manusia ini memang tidak pernah terlepas dari ujian. Tidak kira sama ada orang itu Islam atau bukan Islam, ada pegangan agama atau tidak, kecil atau besar, tua atau muda. Bagi orang bukan Islam, mereka menghadapinya dengan berbagai kaedah yang difikirkan logik mengikut akal mereka. Jika akal mereka sudah tidak mampu berfikir, maka mereka mengambil jalan singkat dengan makan ubat tidur, makan racun atau membunuh diri sendiri. Bagi orang Islam pula, mereka ada jalan penyelesaian yang telah Allah tunjukkan tetapi mereka perlu kepada ilmunya.

Setiap ujian yang Allah timpakan ada maksud tersirat dari Tuhan yang ramai manusia tidak tahu akan hikmah di sebalik ujian tersebut. Ujian; sama ada ujian sakit, ujian miskin, ujian isteri atau suami meragam, ujian anak-anak, kena fitnah, kena hina dan sebagainya semuanya dalam kuasa Tuhan. Hakikatnya Tuhanlah yang mendatangkan ujian itu.

Ujian yang datang ada tiga peringkat atau untuk tiga golongan manusia.

Peringkat pertama:

Untuk peningkatan darjat.

Allah berikan ujian adalah kerana hendak naikkan darjat seseorang di sisi-Nya di Akhirat kelak. Ketinggian darjat di sisi Tuhan ini adalah untuk orang-orang yang taat dengan Tuhan ketika di dunia lagi. Di dunia dia banyak berbuat amal soleh, amal kebajikan tapi masih lagi Allah beri ujian yang berat kepadanya. Ini tidak lain tidak bukan ialah untuk meninggikan darjatnya di Akhirat kerana ketabahannya dan kesabarannya menghadapi ujian. Ujian seperti ini adalah untuk para rasul, para nabi, para wali dan paling rendah ialah orang soleh. Ujian paling berat kita lihat dalam sejarah seperti yang ditanggung oleh para nabi dan rasul yang mana ia sangat bersesuaian sekali dengan tingginya darjat mereka.

Peringkat kedua:

Untuk penghapusan dosa dan didikan langsung dari Tuhan.
Ujian yang diberi untuk orang-orang Islam yang berdosa. Semua orang ada membuat dosa tidak kira dosa besar atau kecil. Ini adalah kerana manusia biasa bukannya maksum iaitu terpelihara dari dosa seperti para rasul. Jika kita merasakan diri kita tidak berdosa, itu juga merupakan satu dosa.

Jadi segala ujian ini Allah berikan tidak sia-sia dan ia ada dua tujuan:

1. Penghapusan dosa Allah Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya.
Sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya melebihi dari kasih sayang yang diberikan oleh seorang ibu kepada anaknya. Walaupun hamba-hamba-Nya telah berbuat dosa tapi masih diberi peluang untuk membersihkan dosa sebelum pulang ke pangkuan-Nya dengan jalan diberikan ujian-ujian. Kesabaran dan redha dalam menerima ujian itu akan dinilai oleh Allah sebagai penghapusan dosa.

2. Untuk ‘post-moterm’ diri

Manusia lazimnya akan mudah sedar dari kesilapannya apabila ia diuji. Terutama apabila ujian itu benar-benar memberikan kesan yang mendalam dalam kehidupannya. Manusia yang telah Allah sedarkan ini akan mudah insaf dan akan sentiasa membaiki diri daripada kesalahan lalu dari masa ke semasa. Maha Suci Tuhan yang amat kasih akan hamba-Nya, walaupun telah banyak berbuat dosa tapi Allah masih beri jalan untuk menghapuskan dosa-dosa tersebut dengan cara diuji. Tetapi kita mesti faham benar akan maksud Tuhan itu. Supaya dengan itu kita dapat tabah dan redha dengan ujian Tuhan. Jika terasa berat ujian yang ditanggung, kita faham ujian itu memang sesuai dengan kita kerana telah banyak buat kesalahan dengan Tuhan atau sesama manusia. Oleh itu jika kita sedar maka kita akan berkata,
“Terima kasih Tuhan kerana sesungguhnya Engkau masih sayang lagi kepadaku. Semoga dengan ujian ini Engkau ampunkanlah segala dosa-dosaku yang lalu.”

Manusia apabila ditimpa musibah sebagai ujian hidupnya, dia akan mudah insaf akan kesalahan yang telah dilakukan. Jika tidak dia akan mudah lupa daratan, merasa diri hebat, tidak mahu terima pandangan orang lain. Ujian ini bagi orang yang faham ialah didikan terus dari Allah SWT. Tetapi jika seseorang itu tidak tahan dengan ujian yang didatangkan, ia akan hilang pertimbangan dan tidak boleh menilai tujuan baik Tuhan dalam memberi ujian itu. Orang yang tidak redha ini biasanya disebabkan tidak faham akan ilmunya. Jika ilmu mengenai ujian itu sendiri tidak ada, bagaimana pula hendak mengamalkannya?

Peringkat ketiga:

Bala atau hukuman dari Tuhan
Diperingkat ini ujian terbahagi pula kepada dua:

1. Untuk orang-orang kafir 

Ujian diturunkan untuk semua peringkat manusia bukan untuk orang Islam sahaja bahkan termasuk juga orang-orang bukan Islam. Mereka juga menghadapi musibah kesusahan, kesedihan, mala petaka seperti gempa bumi, kebakaran, kematian dan sebagainya. Tetapi oleh kerana mereka itu orang-orang yang tidak beriman maka segala ujian yang ditimpakan ke atas mereka itu tidak boleh meningkatkan diri mereka itu menjadi baik. Malah mereka menjadi semakin jahat, semakin jauh dari Tuhan. Jika mereka boleh bersabar sekalipun dengan ujian tersebut, tiada pahala dan apa-apa kebaikan Akhirat untuk mereka.


2. Untuk orang Islam


Iaitu orang-orang Islam yang sudah terlalu jahat atau terlalu zalim dan sudah tidak boleh diinsafkan lagi. Tujuan didatangkan ujian di dunia ialah kerana Tuhan hendak hukum dia di dunia lagi sebelum di Akhirat. Jika ujian yang Allah berikan di dunia itu dapat menyedarkannya, maka selamatlah dia di Akhirat kelak. Itu pun jika dia faham akan hikmah yang tersirat dalam ujian itu. Kesimpulannya jika kita diuji oleh Allah, lebih baik kita anggap diri kita dalam golongan peringkat kedua kerana golongan dalam peringkat yang pertama hanya untuk orang yang luar biasa iaitu para nabi dan rasul.. Kita anggap diri kita golongan yang banyak berdosa kepada Tuhan dan layaklah kita dihukum. Manakala

3. Untuk orang yang jahat.

Kalau selepas diuji dia bertaubat, betulkan sembahyang, berpuasa, bermaaf-maafan, bertolong bantu, insya-Allah di samping Allah mengampunkan dosa kita, Tuhan juga akan selesaikan masalah kita.








Have a day full of smiles, good work and love! 
Because Smile is the Melody of the Soul. Work is the Service of the Spirit and Love is the Gift of the heart. 


Teruslah bergerak 
Hingga KELELAHAN itu LELAH mengikutimu. 
Teruslah berlari 
Hingga KEBOSANAN itu BOSAN mengejarmu. 
Teruslah berjalan 
Hingga KELETIHAN itu LETIH bersamamu. 
Teruslah bertahan 
Hingga KEFUTURAN itu FUTUR menyertaimu "
Teruslah berjaga 
Hingga KELESUAN itu LESU menemanimu. 
        (Alm. Ust. Rahmat Abdullah) 
Semoga Allah meredhai perjuangan ini, dan memberikan yang terbaik. 
Allahumma yassir wala tu'asir. 
Bismillah, tawakaltu 'alallaah 
laa hawlaa walaa quwwata ilaa billa



Walau diri dibebani gunungan dosa dan tidak langsung layak untuk bercakap mengenai nasihat, namun tidak juga saya mahu terus ingkar dan sombong memijak bumi tuhan. Sementara masih dikurniakan akal yang mampu membezakan antara yang haq dengan yang batil, sama-sama kita berubah menuju ke jalan Allah agar kehidupan akan selamat dunia dan akhirat. Mungkin saya sendiri masih dalam usaha memperbaiki diri yang adakalanya masih tergelincir, tapi suka saya ingatkan anda dan diri saya sendiri, petikan ayat al-quran ada menyebut, "berpesan-pesanlah dengan kebaikan dan kesabaran." Semoga ilmu yang ingin digali dan perjalanan hidup sentiasa diredhai Allah . Amin..


lestarikan wadi kalbuku Tuhanku
leraikan aku dari pautan nafsu
biarpun sukar bagiku melamar redhaMu
namun masihku mengharap ampunanMu
Ya Allah..

Friday 9 March 2012

sumber makanan untuk rambut sihat

        Selain memperbaiki penampilan, rambut yang sihat  turut menjadi dambaan. Jom ikuti beberapa makanan yang baik untuk diambil bagi meningkatkan kesihatan rambut.

  • Telur :: Selain menjadi jenis makanan yang popular, telur juga merupakan sahabat rambut. Ini kerana telur kaya dengan protein dan vitamin B12 yang dpt memperkayakan rambut untuk kekal sihat bermaya.
 
  • Gandum :: bukan sekadar makanan terbaik ketika bersarapan, gandum juga menyumbang kepada protein yang sgt baik untuk rambut.
 
  • Beras merah :: beras merah bukan sekadar membuat anda kenyang lebih lama namun beras merah turut mampu membuat rambut lebih berkilau
 
  • Ikan salmon :: merupakan antara sajian yang turut mampu menjadikan rambut semakin sihat. Kandungan omega 3 ditambah dengan kandungan protein dan vitamin B12 menjadikan kulit kepala kekal sihat.
 
  • Sayuran hijau :: anda boleh mencuba mengambil jenis sayuran hijau kerana terdapat zat besi dan serat yang amat diperlukan untuk pertumbuhan rambut.
 
  • Vitamin C :: bukan sekadar dikenali sebagai sahabat sejati untuk kulit yang cantik, vitamin C turut berpengaruh besar terhadap kesihatan rambut. Ia membantu menjaga folikel rambut, pembuluh darah dan kulit kepala agar kekal sihat.
 So, rajin-rajin la ambil makanan yg seimbang dalam sajian harian. Selain dapat menjaga berat badan seperti pengambilan beras merah dan pengambilan sayuran hijau sebagai pembekal pelbagai kandungan vitamin terhadap tubuh, makanan sebegini amat penting untuk menjaga rambut dan penampilan diri :)


Tuesday 6 March 2012

Cerpen : Pengorbanan Seorang Ibu

Pada zaman dahulu, di sebuah perkampungan yang kecil, tinggallah seorang perempuan bernama Solehah dan anaknya, Amru yang baru berusia 5 tahun. Suaminya telah meninggal dunia ketika di medan perang. Maka tinggallah Solehah dan anaknya sehelai sepinggan meneruskan kehidupan di sebuah rumah kecil peninggalan suaminya.

Kerja solehah sebagai penenun kain menjadikan hidup mereka serba sedikit senang. Dia dan anaknya masih boleh mengisi per
ut dan menjalani kehidupan walaupun tidak semewah orang lain. Sekurang-kurang mereka tidak perlu mengemis untuk mendapatkan sesuap nasi.

Jika ramai orang yang mengupah solehah untuk menenun kain, maka berisi lah perut mereka hari itu, tetapi jika tiada pelanggan, maka mereka terpaksa makan makanan simpanan sebelum ini yang sedikit untuk mengalas perut. Begitulah kerja Solehah yang tidak menentu setiap hari.

Pada suatu hari, tidak ada seorang pun yang datang ke rumah Solehah untuk mengupahnya menenun kain. Nasib baiklah, dia telah menyimpan sedikit roti untuk anaknya.

"Amru sayang, Umi minta maaf sebab hari ini hanya ada sedikit roti untuk amru makan, tapi Umi janji, esok kita makan nasi ya," Solehah berkata kepada sambil menghulurkan beberapa keping roti untuk Amru.

                                                                     *****

"Umi, kalau Amru makan roti ni, Umi nak makan apa?" Amru menyoal ibunya yang masih tidak berhenti membelai rambutnya itu.

"Umi tak penting pun Amru. Amru makan kenyang-kenyang ya. Umi tengok Amru kenyang pun Umi rasa dah kenyang. Amru jangan risaukan Umi," Solehah menjawab soalan Amru yang kelihatan masih setahun jagung itu. Bagi Solehah, dia tidak kisah untuk berlapar. Melihat anaknya ceria dan tersenyum setiap hari, itu sudah cukup membuat hatinya gembira.

"Umi, Amru janji, bila Amru besar nanti, Amru nak bekerja rajin-rajin. Amru nak bagi Umi makan enak-enak," kata Amru pandai menjaga hati ibunya. Kemudian, dia menyuap sedikit roti ke mulut ibunya itu. Solehah hanya tersenyum dengan gelagat anak kecilnya itu.

Sejak kecil, Amru dididik dan dijaga oleh Solehah sepenuh kasih sayang. Dia diberi didikan agama yang sempurna dan diasuh bagai menatang minyak yang penuh, seekor nyamuk pun tidak dibiarkan hinggap di badan Amru. Baginya, Amru merupakan satu-satunya harta peninggalannya.

Setelah beberapa tahun berlalu, Amru telah membesar menjadi seorang pemuda yang segak dan tampan. Solehah pula semakin lama, semakin tua tetapi keringatnya terus jatuh ke bumi mencari nafkah buat keluarganya.

Perubahan mendadak ditunjukkan pada sikap Amru. Dia sering keluar untuk bersukaria bersama kawan-kawannya. Dia juga semakin degil dan selalu melawan cakap ibunya. Walaupun disuruh oleh ibunya untuk mencari kerja, tetapi nasihat ibunya yang tua itu langsung tidak diendahkan. Malah Amru sering menengking dan berkasar sehingga membuat ibunya itu terguris.

Solehah tidak tahu mengapa Amru bersikap sedemikian terhadapnya. Dia tidak pernah mengajar anaknya untuk berkasar. Setiap hari, dia berdoa agar Tuhan sentiasa melindungi Amru daripada sebarang perkara yang tidak baik.

Amru pula, langsung tidak berubah, selalu keluar berfoya-foya dengan kawan-kawannya. Dia akan ke pekan untuk menghabiskan wang yang diberi oleh ibunya untuk melakukan perkara yang tidak senonoh. Duit itu banyak dihabiskannya untuk berjudi. Disebabkan berjudi itu juga, dia selalu dipukul kerana tidak dapat membayar wang yang sepatutnya.

Begitulah rutin harian Amru. Dia tidak serik untuk berjudi walaupun tahu akibatnya. Apabila balik ke rumah, badan Amru akan cedera dan luka di sana-sini akibat dipukul. Solehah jugalah orang yang akan merawatnya. Dia menyapu ubat di badan Amru sambil menitiskan air mata melihat anaknya itu. Semahunya, dia tidak ingin perkara itu berlaku pada anak kesayangannya itu.

"Sakitkah anakku? Umi sapu perlahan-lahan ya.Kamu sudah besar Amru. Umi, sudah beberapa kali pesan jangan berkawan dengan orang yang tidak elok akhlaknya. Kamu juga yang susah nanti," ujar solehah memberi nasihat kepada anaknya itu. Begitulah kata-kata yang sama keluar dari mulut solehah tiap kali merawat Amru. Amru hanya membisu seribu bahasa. Kesakitan yang dialami menutup mulutnya.

Namun Amru tetap tidak berubah. Perangainya masih sama seperti dahulu. Kerap kali keluar ke pekan bersama kawan-kawanya untuk berjudi. Tiap kali dia berjudi tiap kali itu jugalah dia kalah. Nasib langsung tidak menyebelahinya. Dan tiap kali dia kalah tiap kali itu jugalah badannya akan menerima padahnya. Begitulah nasib Amru setiap hari. Nasib baiklah dia mempunyai seorang ibu penyayang yang masih mengambil berat akannya.

Setiap hari seperti biasa Amru akan meminta wang daripada ibunya sebelum keluar.

"Umi!! Amru nak wang lagi!! Cepatlah Umi, kawan-kawan amru tunggu Amru tu!!" Tengking Amru kepada ibunya yang telah tua itu.

"Semua wang Umi sudah habis Amru. Wang semalam ialah wang terakhir dari simpanan Umi. Umi sudah tiada wang untuk diberi kepada Amru," jawab Solehah pilu. Semua wangnya telah diberi kepada Amru tanpa sempat pun dia membeli sedikit makanan.

"Umi tipu!!! Umi masih ada wang tapi Umi tidak mahu beri pada Amru kan??!!" Tengking Amru.

Jawapan ibunya itu membuatkannya marah. Kemudian dia terus menggeledah seluruh isi rumah untuk mencari wang. Namun usahanya itu tidak berhasil kerana sekeping wang pun tidak berjaya dijumpai.

"Perempuan tua tak guna!!" Jerit Amru. Dia kemudian menolak ibunya sehingga rebah dan keluar dari rumah dengan perasan yang hampa. Amru benar-benar tertekan kerana jika tiada wang maka tiadalah keseronokan dalam hidupnya.

Di pertengahan jalan, Amru diberhentikan oleh seorang pemuda yang langsung tidak dikenalinya. Pemuda itu kelihatan kaya dengan pakaiannya yang mahal. Amru tidak sedar bahawa pemuda itu sebenarnya adalah syaitan yang menyamar sebagai manusia. Syaitan itu hanya ingin memerangkap Amru. Bagi syaitan itu, Amru adalah orang yang sangat mudah diperdaya dengan harta dan wang.

"Apa sebenarnya yang kamu mahu?" tanya Amru kepada pemuda segak yang berdiri di hadapannya.

"Aku hanya mahu menolong kamu. Bukankah kamu kesempitan wang sekarang? Aku mahu memberi kamu wang yang banyak," jawab syaitan itu memperdaya Amru.

"Memberi aku wang yang banyak?!" Amru terperanjat dan gembira.

"Ya. Wang yang banyak. Tapi dengan satu syarat," ujar syaitan bijak bermain dengan kata.

"Apakah syarat tersebut? Cakaplah apa yang Tuan mahu? Segera juga aku penuhinya."

"Syaratnya, bawa hati ibu kamu kepada aku dan wang yang banyak akan menjadi milik kamu."

Tanpa banyak berfikir, Amru terus berlari ke rumahnya. Tanpa belas kasihan Amru membunuh dan mengambil hati ibunya; ibu yang selama ini menjaga dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang, ibu yang sanggup berlapar demi anaknya, ibu yang sanggup bekerja demi mencari sesuap nasi untuk anaknya, ibu yang selalu merawatnya semasa sakit. Malah, ketika Amru pulang, ibunya sedang menyiapkan masakan kegemaran Amru tanpa terasa sedikit pun akan perbuatan Amru sebelum ini.

Amru sangat gembira kerana dengan hati ibunya itu, dia akan mendapat wang yang banyak. Dia terus berlari untuk mendapatkan pemuda yang berjanji dengannya tadi sambil membawa hati ibunya itu. Semasa berlari keseronokan membayangkan dia akan mendapat wang yang banyak, tanpa disedari Amru tersepak batu lalu terjelopok ke tanah.

"Sakitkah anakku?" dengan izin Allah, hati itu bercakap apabila melihat anak kesayangannya sakit akibat jatuh tersungkur. Dengan penuh kasih sayang hati itu terus bertanya. Soalan tersebut ditanya berulang-ulang kali sehingga membuatkan Amru terperanjat.

Tanpa mempedulikan kata-kata hati itu, Amru terus mengambil dan membawanya kepada pemuda yang menyamar tadi. Syaitan itu berasa amat gembira sekali kerana misinya berjaya. Sebagai balasan Amru diberikan wang yang banyak sebagaimana yang telah dijanjikan.

Dengan wang yang banyak itu, Amru meneruskan kehidupannya dengan berjudi. Akhirnya sekelip mata sahaja wang banyak yang diberikan oleh syaitan tadi habis digunakan. Seperti biasa Amru akan dipukul. Apabila balik ke rumah, tiada lagi kedengaran suara bimbangan ibunya.

Tiada lagi ibunya untuk merawat segala luka-luka di badannya. Tiada lagi ibunya untuk memasak makanan kegemarannya. Tiada lagi ibunya untuk membelai-belai menidurkannya. Akibat sikap Amru yang suka berjudi, rumahnya dijual. Akhirnya Amru menjadi pengemis dan mati di tepi jalan akibat kelaparan.

Begitulah kisah menyayat hati seorang ibu dan anaknya. Kisah kasih sayang ibu kepada anaknya yang tidak berbelah bagi. Kisah pengorbanan seorang ibu. Betapa sayangnya seorang ibu kepada anaknya itu sehingga hati masih mampu berkata-kata, risau melihat anaknya sakit.

Kita pula bagaimana? Sayangkah kita pada ibu kita? Pernahkah kita membuat ibu kita menangis? Pernahkah kita bayangkan kanak-kanak yatim piatu yang tidak mempunyai ibu? Bagaimanakah nasib mereka? Kita ni sememangnya bertuah kerana mempunyai ibu. Jadi hargailah ibu anda sebaik-baiknya.